Pilihan Raya Sarawak 2011 baru sahaja melabuhkan tirainya dengan kemenangan berpihak kepada BN melebihi 2/3 kerusi. Tahniah kepada BN yang berjaya mengekalkan penguasaan di bumi Sarawak. Tahniah juga kepada penduduk Sarawak yang telah keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Kepada parti yang sudah mendapat mandat daripada rakyat, tunaikanlah tanggungjawab anda sebaik mungkin. Jangan disia-siakan kepercayaan yang telah rakyat berikan kepada anda. Peranan anda dalam menjadi wakil suara rakyat ditempat anda untuk 5 tahun akan datang bakal menentukan halatuju Sarawak dan juga diri anda. Rakyat bukan meminta bulan dan bintang, jauh sekali minta disuapkan makanan kedalam setiap mulut. Cukuplah anda menyelesaikan permasalahan rakyat dibawah anda. Mereka mengharapkan anda mendengar dan menyelesaikan masalah setempat.
Program turun padang sepatutnya harus ada dalam diri setiap wakil rakyat. Cubalah selami apa kemusyikilan yang wujud dalam masyarakat. Rasailah denyut nadi rakyat. Cuba berkomunikasi dengan semua orang. Ramai lagi yang perlukan pembelaan anda. Jika anda mahu benar-benar merasai denyut nadi rakyat, ingin tahu apa yang sangat diperlukan oleh rakyat, cubalah anda letakkan diri dalam setiap masalah mereka. Jadilah sebahagian dari diri mereka. Jangan hanya duduk dalam ofis kena penyaman udara atas kerusi empuk sambil tunggu rakyat datang menjenguk anda.
Banyak lagi yang diperlukan untuk pembangunan rakyat Sarawak. Banyak kerja yang perlu dilakukan. Ramai yang perlukan pembelaan dari segi ekonomi, sosial dan juga pendidikan. Jika anda turun ke kawasan pedalaman Sarawak, kemudian bandingkanlah dengan pedalaman di Semenanjung, bezanya bagai langit dan bumi. Di Sarawak, penduduk pedalaman masih lagi terkial-kial membangunkan ekonomi sendiri sedangkan orang asli di Semenanjung pun sudah merasai kemajuan yang tidak ada di Srawak. Pergilah diceruk mana pun, pasti anda akan dihubungkan dengan jalan raya yang selesa. Tapi di Sarawak, anda tidak akan sampai ke Sibu dari Kapit tanpa bot ekspres yang menyeksakan punggung anda selama lebih 3 jam.
Sudah lebih 40 tahun Sarawak merdeka dan menyertai Persekutuan Tanah Melayu, bermakna sudah lebih 50 tahun negara merdeka. Jika anda berada di Semenanjung, rumah orang asli didalam hutan pun sudah ada bekalan elektrik 24jam. Tetapi di Sarawak, ada lagi rumah penduduk terutama yang dipedalaman masih menggunakan jenerator. Sudah tentu ini membebankan rakyat, dengan kos bahan api yang semakin meningkat, tuntutan untuk menerangi malam, pap lagi pilihan yang ada?? Belum pun projek hidro elektrik Bakun siap, sudah ada cakap-cakap yang mengatakan bukan semua rakyat Sarawak dapat menikmati elektrik dari empangan itu bila ia beroperasi kelak. Persoalannya, kenapa rakyat yang berada dilaluan kabel elektrik dan juga laluan air dari empangan Bakun itu tidak dapt menikmati elektrik?? Jika diikutkan perjanjian asal, hidro elektrik Bakun akan membekalkan elektrik ke Semenanjung juga. Kenapa harus jadi seperti itu??
Jika berlaku bencana, rakyat yang ada dilaluan air empangan Bakun sudah pasti mendapat bencana. Adakah ini bermakna, rakyat Sarawak perlu menanggung kesan kemajuan yang orang lain nikmati?? Adakah adil perkara seperti ini berlaku??
Rakyat inginkan perubahan, tapi bukan dengan menukar kerajaan. Cukuplah suara rakyat akar umbi didengar. Rasailah denyut nadi rakyat terutama dikawasan pedalaman yang inginkan kemajuan dadn perhatian. Mereka mengharapkan wakil rakyat mereka dapat mewakili suara mereka dengan berkesan. Majulah Sarawak Dalam Malaysia.
No comments:
Post a Comment